Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menggesa agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan seorang penulis buku antarabangsa Barry Wain, Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, bahawa sepanjang pentadbiran 22 tahun mantan perdana menteri keempat hampir sebanyak RM 100 bilion dibazirkan dan termasuk berlakunya rasuah.
Gerak juga menggesa agar siasatan suruhanjaya diraja itu nanti melibatkan dakwaan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap mantan perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melibatkan penggunaan wang bernilai RM270 bilion dalam masa lima tahun.
Siasatan yang adil perlu dilakukan bagi mengembalikan nilai kredibiliti kepimpinan negara dan kedudukan Malaysia dalam tangga indeks persepsi rasuahnya yang jatuh pada tangga ke-57 pada tahun lalu.
Dakwaan berlakunya penyelewengan dan rasuah seperti yang didakwa melibatkan kedua-dua mantan perdana menteri ini wajar disiasat kerana ia melibatkan suatu jumlah yang begitu besar sehingga mencecah bilion ringgit.
Jika dakwaan ini tidak disiasat sebaiknya, Gerak bimbang fenomena penyelewengan dan rasuah berskala mega akan menjadi amalan para pemimpin negara pada masa hadapan.
Hakikat ini tidak boleh kita nafikan kerana situasi kekukuhan ekonomi negara juga amat bergantung kepada tahap integriti pengurusan sumber khazanah negara.
Kebolehpercayaan para pelabur asing terhadap kestabilan ekonomi negara akan tergugat jika pemain-pemain rasuah politik-ekonomi secara terus-terusan menjadikan sektor perekonomian negara sebagai sarang rasuah yang boleh mengakibatkan kualiti ekonomi sesebuah negara merudum.
Jika khazanah negara seperti petroleum dan sumber asli yang lain tidak diuruskan dengan penuh integriti, maka tidak mustahil untuk kita menegaskan bahawa ketidakstabilan ekonomi yang agak meruncing pada hari ini adalah diakibatkan oleh perlakuan jenayah rasuah berskala mega.
Rasuah berskala mega seumpama ini perlu dihentikan dengan memulakan pendakwaan segera terhadap individu-individu berprofil tinggi termasuklah yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara dan negeri. - Mohd Nazree Mohd Yunus pengerusi Gerak Malaysia -
No comments:
Post a Comment